Menitislah genangan air yang bertakung
Pada kedua kelopak pandangan
Empangnya telah pecah
Tidak termampu menampung
Himpunan duka lara dari tadahan jiwa yang meruntun
Dari ingatan setiap helaian lembaran kenangan
Tanpa sebarang upaya lagi
Untuk dibendung.....
Membanjiri seraut wajah
Susuk tubuh yang kelihatan tenang
Di sebaliknya adalah kemarau panjang
Yang masih belum sampai ke penghujungnya
Ditanyakan persoalan harapan
Bilakah mungkin mentari akan tersenyum lagi
Bilakah gerhana mahu berganjak pergi
Bilakah musim luruh akan berganti
Jawapan yang masih belum dimengertikan
Dan berterusan hujan lebat turun menyirami
Membasahi kolam hati
Jiwanya seakan padang pasir yang tandus
Kerana sarat dengan selautan rindu
Mendambakan syurga cinta
Yang berada di kayangan impian
Nun jauh di langit harapan
Termampukah lagi
Jiwa dan juga raga
Bertahan pada kunjungan angin ribut taufan
Yang telah meruntuhkan
Semangat juang yang selama ini dipertahankan.....